Friday, December 18, 2009

Halalan!

Apakah yang dikatakan halal?  Halal  bermakna yang dibenarkan merujuk kepada setiap urusan kehidupan tidak terhad  hanya kepada  makanan/minuman yang diizinkan malahan lain-lain perkara meliputi perjalanan hidup mengikuti prinsip undang undang Islam. Namun halal yang ditekankan sekarang ini lebih kepada bab makanan semata-mata. Bagaimana pula hal-hal berpakaian, sistem perundangan, kewangan, sosial, komunikasi dan sebagainya? Perkara halal dan haram sangat luas serta perlu difahami secara mendalam. Sesungguhnya Islam itu adalah suatu jalan hidup yang syumul untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Sebagaimana maksud hadis:

“Dari Abu Abdullah An-Nu’man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ‘ Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam perkara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan. Hampir sangat ia menternak ke dalamnya (tempat larangan itu). Ketahuilah, bagi setiap raja ada tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah perkara-perkara yang diharamkanNya. Dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ibnu Abbas, TranungDaily mengupaskan hadis di atas:

1. Muqaddimah
Perawi Hadis ini ialah Abu Abdullah An Nu’man bin Basyir , yang merupakan seorang Ansar dari suku Khazraj. Ibunya seorang sahabat dan juga saudara kepada Abdullah bin Rawahah. Ayahnya Basyir pernah meminta Rasulullah mengajarnya bersalawat (sebagaimana selawat dalam solat)

2. Halal dan Haram
Pengertian Halal di sisi Imam Syafie ialah “Apa2 yang tidak disebut oleh syarak tentang haramnya.” Manakala di sisi Imam Abu Hanifah pula ialah, “Apa2 yang disebut oleh syarak tentang halalnya.”
Perkara halal dan haram yang sudah jelas termaktub dalam Al Qur’an dan Sunnah tidak boleh dipertikaikan lagi. Sami’na wa ato’na…
Halal dan haram itu merangkumi aspek makan minum, pakaian,pekerjaan, muamalah dan segala aspek kehidupan.
Ada perkara haram yang meliputi zatnya sahaja dan ada yang meliputi zat dan kerana selainnya. Dan ada juga yang zatnya halal tapi haram kerana selainnya.

3. Perkara Syubhah
Perkara syubhah ertinya perkara yang berada dalam kesamaran, tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram. Biasanya ia disebabkan oleh faktor pertentangan dua dalil ataupun kerana tiada dalil/nas yang terang/sorih.
Kaedah menjaga diri daripada terlibat dengan syubhah adalah kaedah wara’.
Contoh zaman nabi: Kisah ketika Nabi s.a.w. bersama dengan isterinya Safiyyah di tempat awam. Ketika itu, 2 lelaki yang berlalu di situ ditahan oleh nabi untuk memberi penjelasan bahawa baginda bersama isterinya Safiyyah bagi mengelakkan sangkaan buruk.

4. Kawasan Larangan
“ Dan barangsiapa yang terjerumus dalam syubhah, ia terjerumus dalam perkara haram”, membawa dua pengertian:
Pertama , seseorang melakukan perkara haram tetapi ia menyangkanya halal. Kedua, seseorang melakukan perkara yang dekat dengan perkara haram. Umpamanya lelaki dan wanita yang bukan mahram berdua-duaan tanpa ikatan perkahwinan dikira melakukan perkara haram kerana ia boleh membawa kepada zina.
Contoh yang diberikan dalam hadis ialah penggembala yang menggembala ternakan berhampiran dengan tanah orang/kawasan larangan. Walaupun ternakan itu belum masuk secara terangan ke dalam kawasan itu, ia dikira syubhah dan sebagaimana dalam hadis, sesiapa yang melakukan syubhah , maka ia melakukan yang haram.
Ketahuilah bagi Allah juga ada kawasan larangannya iaitu segala perkara haram atau maksiat yang membawa kepada haram yang lebih besar.
Contohnya, kisah Bani Israel yang suka membunuh para nabi. Asalnya, mereka hanya menderhaka ajaran nabi-nabi mereka, yang akhirnya melampaui batas sehingga membawa kepada kufur dan membunuh para nabi.

5. Hati
Hati adalah Raja kepda anggota tubuh badan. Sekiranya hati baik, baiklah seluruh anggota. Sekiranya rosak, rosaklah anggota (melakukan maksiat).
Nabi bersabda; “Tidak lurus iman seseorang hamba sehinggalah lurus hatinya.”

6. Kaedah Fiqh
Ulama’ fiqh merumuskan satu kaedah berdasarkan kepada hadis ini iaitu “ Apa-apa yang membawa kepada haram, maka ianya juga adalah haram.”


Makanan Dari Sumber Halal

Penting memakan dari sumber halal adalah berdasarkan  sabda Rasululllah s.a.w.: “Mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami)

1) Taat perintah dari Allah s.w.t..

Setiap perintah dari Allah s.w.t.,  ada hikmah disebaliknya dan ingatlah hidup di dunia ini adalah mencari keredhaanNYA jua.

Firman Allah:
Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik (al-Maaidah: 88)
 
Firman Allah:
Wahai manusia, makanlah apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang nyata” (Al-Baqarah 168).
2) Mengelakkan dari azab neraka (nauzubillah)

Maksud Hadis: Daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka neraka lebih layak baginya. (Riwayat Thabrani)

Maksud Hadis: "Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram". (Riwayat Ahmad)


3) Punca doa  tidak dimakbulkan adalah dari makanan yang haram.

Orang yang makan makanan halal, doanya makbul berbeza dengan orang yang makan makanan haram, terhijab doanya dengan Tuhan.

Rasulullah bersabda:

“Betapa banyaknya orang yang rambutnya kusut-masai, badannya berdebu lantaran terlalu lama dalam pelayaran, makanannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan perutnya dipenuhi dari yang haram, diangkatkan kedua tangannya seraya berdoa: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Bagaimana boleh Tuhan mengabulkan doanya.” (Riwayat Muslim)


Rasulullah bersabda; “Baguskanlah makanan engkau nescaya adalah engkau orang yang diperkenankan permintaan.” (Riwayat Thabrani)


4) Punca amalan tidak diterima.

Ibnu Abbas berkata bahwa Sa’ad bin Abi Waqash berkata kepada Nabi SAW, “Ya Rasululloh, doakanlah aku agar menjadi orang yang dikabulkan doa-doanya oleh Allah.” Apa jawaban Rasululloh SAW, “Wahai Sa’ad perbaikilah makananmu (makanlah makanan yang halal) niscaya engkau akan menjadi orang yang selalu dikabulkan doanya. Dan demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, sungguh jika ada seseorang yang memasukkan makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amalnya selama 40 hari dan seorang hamba yang dagingnya tumbuh dari hasil menipu dan riba, maka neraka lebih layak baginya.” (HR At-Thabrani)

Oleh itu, sewajarnya kita mengambil berat setiap rezeki dan makanan kita dari sumber yang halal dan menepati hukum syarak semoga kita sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh Allah s.w.t.

0 comments: